Oleh Faisal Mustaffa

Industri teater kini dilambakkan dengan teater-teater muzikal yang menjadi trend sekarang. Para-para pelabur bagi pementasan perdana lebih banyak memberi dana kepada pementasan berbentuk sedemikian yang kononnya menjadi tarikan untuk para penonton teater.

Bagi melawan arus tersebut dan menyedarkan mengenai keadaan sebenar yang membelenggu masyarakat kita, teater bergenre surelisme dipentaskan oleh Rumah Anak Teater, Short Eyes (17 – 20 Mac 2011; di The Actors Studio @ Lot 10).

Mengapa?

Short Eyes — suatu drama yang ditempatkan dalam penjara — bukannya teater bodek-membodek dan mengagung-agungkan seseorang bagi mengaut keuntungan. Teater ini tidak juga tidak dipengaruhi oleh pihak-pihak yang ingin mengaut publisiti. Teater ini dengan sengaja ingin memaparkan kegusaran and kerunsingan kumpulan Rumah Anak Teater (suatu kumpulan di mana saya sendiri seorang ahli) mengenai akibat hipokrisi para penguasa — tidak kurang juga mereka yang membontoti golongan-golongan tersebut.

Dalam ketika kita membanggakan semangat 1Malaysia, kita masih diasingkan dengan bangsa yang terdapat di negara ini. Borang-borang yang kita perlu isi masih memerlukan kita menyatakan bangsa kita. Parti-parti politik masih perbezaan bangsa-bangsa mereka.

Selain itu, apa yang menjadi ketakutan kami ialah statistik yang diterima oleh Kementerian Dalam Negeri pada 18 Oktober 2010, yang menyatakan secara keseluruhannya jumlah kes kematian dalam tahanan polis dari tahun 2005 hingga Julai 2010 adalah sebanyak 66 kes. Bagi tempoh tersebut:

  • seramai 6 orang tahanan mati disebabkan HIV;
  • seorang disebabkan asma;
  • 5 orang disebabkan sakit jantung;
  • 10 orang disebabkan menggantung diri;
  • seorang disebabkan pergaduhan sesama tahanan;
  • 7 orang disebabkan pendarahan otak;
  • seorang dicederakan oleh anggota polis; dan
  • 35 orang disebabkan lain-lain penyakit.

Adakah kita tahu apakah akibat mereka menggantung diri, dan bagaimanakah seorang banduan di dalam penjara boleh mati dengan menggantung diri?

Miguel Piñero

Short Eyes ditulis asal oleh Miguel Pinero (lahir 1946 di Gurabo, Puerto Rico) yang dibesarkan di Loisaida (or Lower East Side), New York. Pinero ditinggalkan bapanya pada 1954, ketika ibunya mengandung anak kelima. Beliau dan adik-beradiknya tinggal di tempat letak kereta bawah tanah, dan mengharapkan wang kebajikan. Akibat kesempitan hidup, beliau sering mencuri makanan buat keluarganya dan terjebak dengan pelbagai jenayah sehingga dipenjarakan.

Pinero dihantar ke Pusat Tahanan Juvana ketika dia berusia 11 tahun kerana mencuri. Beliau juga pernah menyertai kumpulan jalanan dipanggil “The Dragons” ketika usianya 13 tahun. Pada tahun 1972, ketika beliau berusia 25 tahun, Pinero ditempatkan di Penjara Sing Sing kerana didapati mencuri senjata api.

Beliau menulis skrip Short Eyes ketika ditugaskan menjalankan bengkel penulisan bersama rakan-rakan banduan. Tulisan tersebut dibaca kritikus teater Mel Gussow, yang kemudiannya mengulasnya di dalam New York Times. Akhirnya, Pengarah Theater di Riverside Church meminta agar Pinero mementaskan karyanya di New York.

Short Eyes

Drama Short Eyes diinspirasikan daripada pengalaman Pinero mengenai kehidupan, cinta dan kematian di kalangan rakan-rakan banduan. Ianya satu drama yang menggambarkan kehidupan masyarakat minoriti. Watak-watak dalam pementasan ini terdiri daripada tahanan-tahanan orang Afrika-Amerika, bangsa Puerto Rico dan kulit putih. Mereka mempunyai cara mereka sendiri untuk bergaul sesama sendiri, dalam masyarakat mereka sendiri dan juga untuk mencari jalan untuk melepaskan diri daripada terperangkap dalam kegilaan dan keserabutan mental — sama ada melalui kasih sayang, agama, keganasan, kepercayaan, dadah dan sebagainya.

Short Eyes bukan hanya satu pementasan berkenaan kehidupan dalam penjara, tetapi sebenarnya memaparkan tentang realiti kehidupan sebenar masyarakat dunia luar. Segala yang berlaku di dalam penjara mencerminkan dunia luar — yang juga mempunyai kepentingan penerimaan, nilai dan moral masyarakat. Walaupun kedua-dua dunia (dalam penjara, dan dunia luar) adalah selari, kepentingan-kepentingan ini adalah lebih tegas di dalam alam sebuah penjara.

Dalam pementasan ini, kita melihat watak lelaki yang memikul beban, di mana dia mesti mendapatkan sesuatu hasil daripada apa yang dilakukannya. Sepertimana watak Omar menerangkan kepada Mr Nett ketika dia diminta untuk berjanji supaya tidak bergaduh lagi:

“Saya tak boleh janji untuk perkara macam itu … janji itu ikatan. Lelaki dalam penjara tak ada apa-apa selain janji, dan dia harus berjaga-jaga tentang siapa, bagaimana dan untuk apa dia bagi janji itu.”

Apabila Clark Davis, seorang lelaki kulit putih kelas menengah, ditahan atas tuduhan pedofilia, tahanan-tahanan lain telah menganggap dan memandangnya sebagai kejam. Sedangkan kumpulan tahanan ini sendiri yang menjalani hukuman mereka, yang berdasarkan tuduhan dan justifikasi masyarakat dunia luar.

~

Short Eyes diarah oleh Fared Ayam dan dilakonkan Zahiril Adzim, Eyzendy Aziz, Taiyuddin Bakar, Nam Ron, Naque Ariffin, Khairnadzwan Rodzy, Khairil Ridzuan dan banyak lagi.