Oleh Faisal Mustaffa

Banyak kekurangan dan tanda Tanya mengenai pelaksanaan system saman yang baru dan tidak berapa terkenal itu; saman ekor. Ada yang kata mereka tidak bersalah kerana
kesalahan trafik itu dilakukan oleh orang lain yang menggunakan kenderaan atau menyalahgunakan nombor pendaftaran kereta milik mereka.

Pada 9 Julai 2010, Ketua Trafik Persekutuan Datuk Abdul Aziz Yusof berkata pihaknya tidak merancang untuk mengkaji semula saman ekor berikutan rungutan orang ramai yang mendakwa tidak menerima notis saman.
Kita ikuti kisah-kisah benar rungutan mangsa saman ekor ini.

Kes 1
Pada 28 Februari 2010 lalu, Sinar Harian melaporkan pengguna, Khairul Anuar Mustapha, 49, berkata, semasa membuat semakan saman, dia terkejut kerana menerima tiga saman dalam sehari iaitu pada 25 Disember 2009 lalu.

Menurutnya, lebih menimbulkan kekeliruan apabila dua saman dikenakan dalam tempoh seminit dan jenis kenderaan yang dikenakan saman juga berbeza dari segi kategori kerana dua saman menunjukkan kategori kenderaan motokar, manakala satu lagi adalah kenderaan pelbagai guna (MPV).

“Saya di saman di Kilometer 46 Jalan Ipoh – Teluk Intan di sini, dan saman pertama pada jam 12.33 tengah hari.

“Saman kedua pula dikenakan pada jam 12.50 tengah hari dan saman ketiga pada jam 12.51 tengah hari, kesemuanya saman ini adalah di laluan yang sama,” katanya kepada Sinar Harian.

Khairul Anuar berkata, dia hanya memandu kenderaan jenis Perodua Viva, namun salah satu saman yang dikenakan menggunakan nombor pendaftaran yang sama tapi atas kategori MPV.

“Bagaimana pula perkara ini boleh berlaku sedangkan kereta yang saya gunakan adalah kereta biasa dan tempoh saman seminit ini juga mengelirukan,” katanya.

Katanya, saman yang dikenakan ke atasnya diterima dengan hati terbuka dan masih perlu dijelaskan pembayarannya.

“Namun sebagai pengguna, kami mahukan kepastian mengapa perkara ini boleh berlaku dan pelbagai usaha dilakukan untuk mendapatkan kepastian tetapi gagal.

“Maklumat yang diterima daripada bahagian trafik berkaitan saman dalam tempoh seminit juga mengelirukan kerana mereka menyatakan kemungkinan saya melakukan pusingan U namun, jika difikirkan kembali, bagaimana saya boleh memecut dengan kadar segera dalam tempoh seminit selepas membuat pusingan U,” katanya.

Kes 2

Menerusi emel Anis Adly menerusi [email protected] pada 26 Ogos 2010, beliau memberitahu bahawa beliau memperbaharui cukai jalan keretanya. Malangnya, cukai jalan tersebut hanya dapat diperbaharui sehingga Feb 2011 sahaja. Pihak Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ) telah menyatakan bahawa keta Anis ada saman ekor. Apabila Anis memeriksa saman ekor nya, beliau mendapati samannya berlaku pada 2007 di kawasan yang kelajuannya hanya 90km dan polis menyaman ketika dia memandu pada kelajuan 100km.

Oleh itu, Anis terpaksa menjelaskan saman ekor tersebut sebelum beliau dibenarkan memperbaharui cukai jalannya yang tamat tempoh pada Februari  2011.

Kes 3
Wawancara juga dijalankan bersama Puan Nashita Md Noor, 45 tahun.

Foto: Nashita (kanan) bersama anak-anaknya; Asiah (kiri) dan Asma’

 

Bagaimana anda mengetahui anda disaman?
Saya mengetahui tentang status saman apabila menyemak di laman web MYEG. Kadangkala bila teringat nak tahu ada saman atau tidak saya akan masuk ke laman tersebut dan menyemaknya. Tarikh sebenar saya tidak dapat dipastikan.

Berapakah jumlah saman dan berapa kompaun keseluruhannya?
Dari sana saya mengetahui kami mempunyai enam saman dengan yang paling lama ialah di tahun 2005 dan yang terakhir ialah di tahun 2010. Setiap satu saman hadlaju maksimum kompaun ialah RM300.

Adakah anda berada di tempat anda disaman?
Dari senarai saman yang dipaparkan di web MYEG ada diletakkan lokasi saman tersebut dan diantaranya sekitar Perak di Lebuhraya PLUS dan ini adalah laluan kami untuk pulang ke kampong di Alor Setar. Selainnya di Lebuhraya Karak. Memang kami melalui lokasi tersebut cuma saman tersebut adalah secara curi-curi ‘ditembak’ oleh polis.

Apa yang akan berlaku sekiranya anda enggan menjelaskan saman ekor anda?
Sebagaimana yang kita ketahui pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) telah mengambil tindakan menyenarai hitamkan kenderaan yang pemiliknya tidak menjelaskan bayaran saman. Maka, inilah kali pertama saya telah tidak dapat memperbaharui cukai jalan.

Adakah anda tahu bagaimana sistem saman ekor digunapakai oleh PDRM dan JPJ?
Ya saya tahu dan amat faham bagaimana saman ekor ini digunakan oleh PDRM khususnya dan ianya adalah amat tidak beretika kerana polis akan berlindung di tempat yang selamat dan teduh dan ‘mengacukan’ kamera mereka ke arah kenderaan. Pengguna jalanraya langsung tidak akan tahu bahawa mereka telah melakukan kesalahan. Kadangkala ada saman ekor yang berusia belasan tahun yang terpaksa diselesaikan. Ini tidak adil dan tidak wajar.

Bagaimana saman ekor ini dapat membantu mengurangkan kemalangan jalanraya?
Bagi saya saman ekor ini tidak akan berjaya mengurangkan kemalangan jalanraya kerana pengguna kenderaan tidak akan tahu tentang kesalahan mereka. Saman tersebut tidak sampai ke tangan pesalah. Polis pula mengambil langkah bersembunyi selepas itu menyimpan saman tersebut bertahun-tahun kerana gagal menyampaikan kepada pesalah.

Sebaliknya sekiranya polis menahan pemandu yang membawa laju dan menyampaikan sendiri saman tersebut sudah tentu pengguna akan lebih berhati-hati. Tambahan lagi, buat masa ini ada gajet-gajet canggih yang dapat mengenalpasti di mana ada speedtrap (sebut perangkap kelajuan). Sudah tentu teknik saman ekor ini tidak dapat memperbaiki apa-apa.

Adakah saman ekor ini berlaku di jalan-jalan biasa di ibukota?
Kebanyakan saman ekor yang terkena ialah di lokasi di lebuhraya yang cantik dan selesa. Jalan yang dirasakan selamat dengan hadlaju yang dipandu oleh pengguna dan bukannya di jalan yang merbahaya dan sering berlaku kemalangan dan bukan juga di ibu kota. Dua spot yang sangat biasa dilakukan speed trap ialah di laluan LDP menghala ke Mutiara Damansara dan Lebuhraya SPRINT berdekatan Pusat Sains Negara. Rasa saya lokasi tersebut adalah selamat dan jarang sekali berlaku kemalangan. Jadi saya rasa alasan speed trap di situ hanyalah kerana ianya dapat bawa pulangan yang lumayan pada PDRM dan kerajaan.

Apakah itu?

Saman Ekor yang dikatakan saman ini sebenarnya bukan saman tetapi sekadar notis kepada pemilik kenderaan meminta maklumat pemandu yang dikatakan memandu melebihi hadlaju. Notis ini juga disertakan tawaran kompaun jika pemilik kenderaan mengaku melakukan kesalahan. Ia dikeluarkan di bawah Seksyen 115 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atau dikenalai dengan Notis Pol 170A.
Menurut Zulhazmi Shariff ialah Penasihat Undang-Undang Kempen Anti SamanEkor (KASE), , jika pemilik tidak mengaku kesalahan maka kompaun tidak perlu dibayar kerana kompaun itu hanyalah tawaran. Jika pemilik tidak membayar kompaun  sepatutnya pemilik disaman supaya hadir ke Mahkamah bagi menjawap tuduhan  memandu melebihi hadlaju. Kemudian proses mahkamah yang dijelaskan sebelum ini  akan berlaku. Maka saman itu akan selesai dan tidak tertunggak. Masalah timbul  apabila pihak berkuasa terus menghukum pemilik supaya membayar kompaun sedangkan kesalahan tidak dibuktikan. Kompaun bukan denda tetapi tawaran.
Denda hanya boleh dikeluarkan dan diarahkan oleh Mahkamah. Bukan Polis dan bukan JPJ. Inilah penyalahgunaan kuasa dan peraturan oleh pihak berkuasa. Mereka bertindak melebihi kuasa yang diberikan. Mereka bertindak sebagai penghukum sedangkan tugas itu hanya ada pada Mahkamah.

Jika seseorang rakyat telah dinafikan hak mereka menggunakan harta (kenderaan) mereka tanpa alasan yang berlandaskan peraturan dan undang-undang maka Perkara 13 (b) menyatakan bahawa pampasan hendaklah diberikan. Ini bermaksud jika JPJ menghalang seseorang memperbaharui cukai jalan yang menyebabkan kenderaan tidak boleh digunakan, maka JPJ hendaklah membayar pampasan kepada pemilik kenderaan tersebut.
Hujah ini adalah bersandarkan keputusan kes Leonard Lim Yaw Chiang lwn Director of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak yang telah diputuskan pada tahun 2009. Di dalam kes ini, seorang rakyat bernama Leonard Lim Yaw Chiang telah disenarai hitam dan dihalang oleh JPJ Sarawak dari memperbaharui cukai jalan kereta beliau.
Beliau telah memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuching untuk memutuskan bahawa tindakan JPJ menyenarai hitam dan menghalang beliau memperbaharui cukai jalan adalah salah. Beliau juga memohon gantirugi daripada JPJ di atas kehilangan penggunaan kereta beliau selama kereta tersebut tidak boleh digunakan kerana tiada cukai jalan.
Jika tidak mengaku maka akan dibicarakan. Bergantung kepada keputusan mahkamah, jika didapati salah selepas bicara, maka akan diperintahkan untuk bayar denda. Selesai lah saman itu. Jika tidak bersalah maka luput juga samann itu. Tidak tertunggak.
Soalannya kenapa ada saman tertunggak? Jawapannya pertama kerana  saman-saman itu tidak pernah dibawa ke Mahkamah. Kedua kerana yang dikatakan saman itu sebenarnya bukan saman tetapi notis sahaja.
Menurut Zulhazmi lagi, perlu diambil perhatian bahawa untuk menguatkuasakan sesuatu peraturan dan undang-undang, sesebuah pihak berkuasa hendaklah juga mengikut peraturan dan undang-undang. Saman tidak boleh tertunggak. Jika ada yang tertunggak maka ianya bukan saman. Saman hendaklah dikemukakan di Mahkamah. Orang yang disaman (OKS) hendaklah diserahkan saman dan diperintahkan hadir ke Mahkamah untuk menjawap saman itu.
Jika OKS mengaku salah maka mahkamah akan memerintahkan OKS itu membayar denda. Jika denda dibayar maka saman itu selesai dan tidak akan tertunggak. Jika saman diserahkan kepada OKS tetapi OKS tidak hadir ke Mahkamah, maka mahkamah akan keluarkan waran tangkap suapaya OKS hadir mahkamah.
Maka proses yang sama akan berlaku iaitu OKS akan ditanya mangakui kesalahan atau meminta bicara. Jika mengaku maka akan diarahkan supaya bayar denda bagi saman itu. Maka selesailah saman itu. Tidak tertunggak.
Senarai Hitam
Melalui saman ekor, kerajaan melalui PDRM dan JPJ bertindak menyenarai hitam pesalah trafik melalui saman ekor sehingga mereka tidak dibenarkan untuk membaharui cukai jalan.

Dimaklumkan sejak September 2009, lebih 2.5 juta notis saman dikeluarkan kepada pesalah trafik dan daripada jumlah itu, sebanyak 1.07 juta pesalah trafik telah disenaraihitamkan oleh PDRM.

Mangsa-mangsa yang sering menjadi ‘pesalah’ ialah penduduk-penduduk ibukota yang pulang ke kampung halaman.

 

Gambar hiasan ialah lukisan berjudul “Omdurman Woman2” oleh Kamal Mustaffa