Oleh Faisal Mustaffa

Kehadiran sutradara  Joko Anwar ke Kuala Lumpur tidak melepaskan peluang saya untuk menonton filem terbaru beliau yang ditayangkan di FINAS pada 1 April 2011. Filem PINTU TERLARANG menjalani penggambarannya pada 28 Julai – 31 Ogos 2008 menelan belanja USD 200 juta.
Tepat pada masa filem ini ditayangkan bila mana Malaysia diketawakan dengan tayangan filem berdasarkan rakaman yang diambil dari cctv (kamera litar tertutup)  Datuk T. Tayangan filem telah diadakan khusus buat wartawan pada 21 Mac 2011 di Cacosa Sri Negara di ibu Negara.

Filem PINTU TERLARANG berkisarkan mengenai seorang pengukir patung bernama Gambir yang hidupnya dikawal oleh isteri dan ibunya. Gambir yagn semakin hari semakin terkenal dengan ukiran-ukirannya menyertai sebuah kelab yang khusus memberi anggotanya peluang untuk menyaksikan rakaman dan siaran langsung dari kamera cctv yang dipacak di merata tempat.  Antara rakaman-rakaman yang menjadi pilihan kelab yang dipanggil HEROSASE itu ialah hubungan seksual seorang lelaki berumur dengan kanak-kanak, klip seorang wanita yang secara sengaja menjahit bajunya sambil mencucuk jarum menerusi jarinya sendiri. Rakaman yang mendapat perhatian Gambir ialah berkenaan dengan seorang kanak-kanak lelaki yang didera ibu bapanya.

Menurut Joko Anwar yang memberi penerangan mengenai pembikinan filemnya itu, beliau menjelaskan bahawa filem tersebut mengalami masalah untuk dimasukkan ke pawagam atas lima adegan di dalam filem itu yang tidak mendapat kelulusan panel penapis.  Antaranya:

1.    Apabila paderi mengatakan bahawa neraka tidak wujud.
2.    Babak ganas apabila pengarah menayangkan cara-cara membunuh.
3.    Adegan bayang-bayang  pelakon sedang mandi bogel.
4.    Adegan janin yang menjijikkan.
5.    Adegan seks pasangan suami isteri Gambir-Talyda.
Namun, filem itu akhirnya diluluskan atas persetujuan untuk memotong adegan-adegan tersebut di pawagam. Ini adalah kerana apa yang diceritakan di dalam filem ini adalah benar dan pemasalahan yang diutarakan ialah kes yang berlaku seharian.

Berbeza dengan tayangan filem tertutup video seks yang dikatakan melibatkan Anwar Ibrahim, tayangan video seumpama itu sebelum ini haram untuk diedarkan, apatah lagi untuk ditayangkan. Bagi kes ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengatakan ketiga-tiga ‘Datuk T’, iaitu Shazryl Eskay Abdullah, ahli perniagaan; Abdul Rahim Tamby Chik, Pengerusi Felda dan bekas Ketua Menteri Melaka dan Shuib Lazim, bendahari Perkasa tidak melakukan kesalahan dn dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dan Akta Perlindungan Saksi. Sehingga sekarang juga  Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein  mengatakan tiada sebarang penangkapan dilakukan. Ketiga-tiga mereka merupakan ahli politik dan perniagaan terkenal dalam lingkungan BN-Umno ketika era kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

 

Joko Anwar menerangkan bahawa filem  PINTU TERLARANG ini  membawa beberapa isu sosial penting untuk khalayak ramai iaitu isu pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak yang sering terpapar di dada akhbar. Ramai yang menganggap isu ini sudah mencapai suatu tahap yang serius dan menimbulkan kemarahan.
Laporan di dalam Malaysian Insider 3 April 2011 menyatakan 39 peratus daripada 504 responden yang ditemuramah menuding jari ke arah BN dan Umno ekoran pendedahan video tersebut dua minggu lalu. Hanya 18 peratus dengan tegas mengatakan BN tidak terlibat dalam kontroversi itu yang menunjukkan seorang lelaki, didakwa pemimpin kanan Pakatan Rakyat, mengadakan hubungan seks dengan pelacur asing.
Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian mengenai hasil kajian itu memberitahu ada banyak ruang kabur (dalam pandangan) di kalangan orang ramai, kemungkinan disebabkan ketidakpastian, sesetengah (pula masih) teragak-agak atau memang kurang maklumat apabila bercakap mengenai Anwar, memandangkan kebanyakan maklumat yang ada mengenai beliau adalah (condong kepada) satu pihak dan negatif.
Merujuk kepada Bekas Menteri Kehakiman, Datuk Zaid Ibrahim  di dalam blog beliau, pada tahun 1989, apabila DP Vijandran (pada waktu itu beliau Timbalan Yang Dipertua) didapati terlibat dalam situasi video seks. Pada waktu itu, tidak ada pun sesiapa yang menyebut tentang “politik kotor” atau pun pencerobohan dan hak kebersendirian mahupun pendakwaan pembikin video berkenaan – seperti retorik yang kedengaran sekarang. Sungguhpun dia bersama teman wanitanya (bukannya pelacur), banyak desakan agar dia meletak jawatan. Akhirnya, dia akur dan meletak jawatan.

Pada tahun 1961, John Profumo, seorang ahli politik Britain dan berpangkat Menteri mengadakan perhubungan seksual bersama pelacur kelas atasan bernama Christine Keeler. DIa juga meletak jawatan. Tetapi, akhbar-akhbar yang membocorkan berita berkenaan tidak didakwa dan ditekan oleh rakyat Britain. Rakyat Britain tidak mengatakan ianya sebagai politik kotor. Apabila majalah Amerika yang mendedahkan Gary Hart, salah seorang calon Presiden mempunyai perhubungan sulit, orang awam tidak pula membangkitkan isu berkaitan dengan hak kebersendirian, malah ianya menjadi hak bagi rakyat Amerika untuk mengetahuinya.
CCTV juga bukan hanya boleh menghancurkan profesion seseorang ahli politik tetapi juga banyak membantu. Beberapa tahun lalu, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok pernah mendedahkan wanita warga China yang diminta bogel dan ketuk-ketampi oleh anggota polis. Mahkamah telah mengarahkan rakaman cctv tersebut dan ternyata dakwaan itu benar.

Justeru, cctv juga penting untuk melihat pergerakan anggota polis yang menyalahguna kuasa. Namun, menurut Menteri Dalam Negeri melalui jawapan lisan Ahli Parlimen Kelana Jaya pada 2 November 2010 menyatakan hanya 227 lokap dan 36 bilik soal siasat di balai-balai polis di seluruh Negara. Manakala sebuah balai polis mempunyai CCTV yang dipasang di persekitarannya. Jumlah balai yang terdapat di seluruh Negara ialah 827 dan selainnya masih tidak mempunyai cctv.


PINTU TERLARANG
pernah ditayangkan di San Francisco International Asian American Film Festival (SFIAAFF) pada tahun 2009, Udine Far East Film Festival 2008, Rotterdam International Film Festival 2009 dan New York Asian Film Festival (NYAFF) 2009. Filem ini dijayakan oleh Fachri Albar,  Marsha Timothy, Ario Bayu, Otto Djauhari, Tio Pakusadewo dan Henidar Amroe.