Percaya atau tidak, masih ramai lagi Muslimin dan Muslimah yang mencari pasangan hidup berdasarkan pilihan ibubapa mereka. Sungguhpun kebahagiaan dapat dikecapi oleh sesetengah orang, tidak kurang juga mereka yang tidak dapat menerima cara ini. Walaupun kita berada di zaman pelbagai jenis maklumat dihujung jari, itu tidak bermakna seseorang itu tidak boleh berahsia. Jadi sudah tentu sukar bagi kita untuk mempercayai seseorang yang baru kita temui untuk dijadikan pasangan hidup.

Istilah bertemu janji bagi seseorang yang beragama Islam adalah sekadar mengenali hati budi masing-masing, bagi memastikan mereka serasi sebelum ke jinjang pelamin. Boleh juga dikatakan ia hanyalah pertunangan secara tidak formal. Apa yang lebih penting adalah bagi kita untuk menghindari sebarang hubungan dari segi fizikal (walaupun sekadar berpegang tangan) yang mungkin akan membuat kita terlanjur (dan membawa kepada dosa-dosa yang lebih besar). Pasangan Ina dan Masri, Shatirah dan Salleh serta Anisa dan Akhdiyat merupakan sahabat-sahabat saya yang masing-masing bertemu di universiti Islamik tempatan. Sepanjang 5 tahun mereka bertemu janji, saya tidak pernah melihat mereka menzahirkan hubungan mereka, namun ia tidak menjadi satu kekangan untuk mereka berkasih sayang.

Memandangkan mood kita dipengaruhi oleh persekitaran, pemilihan tempat dan suasana yang bersesuaian akan menggalakkan sesi suai kenal yang bermakna buat kedua-dua belah pihak. Berikut adalah beberapa cadangan untuk Muslimin dan Muslimah dalam mengenali diri masing-masing, disamping bersosial tanpa melampaui batas.

Kafe dan Restoran

Hidangan-hidangan yang menyelerakan boleh menjadi topik perbualan yang baik, dan terdapat banyak kafe serta restoran yang mempunyai suasana untuk bertemu janji yang cukup santai. Secara peribadi, saya lebih gemar jika temu janji pertama berlangsung seperti ini kerana keselesaan dalam berbual disamping menjamu selera menandakan hubungan yang sihat boleh terjalin. Tambahan pula, suasana dimana kita dikelilingi oleh para pelanggan yang lain memudahkan kita untuk menjaga tatatertib masing-masing sebagai seorang Islam.

Upacara, karnival dan konsert

Antara perkara yang menarik tentang Kuala Lumpur adalah bagaimana sentiasa terdapat upacara yang bersifat muzikal, mahupun kebudayaan pada hujung minggu. Pada kebiasaannya, terdapat pelbagai aktiviti yang mampu memenuhi citarasa kita semua, sekaligus menjadikannya satu tempat pertemuan yang baik untuk merapatkan hubungan silaturrahim diantara kekasih. Tidak kurang juga peluang bagi mereka yang belum mempunyai kekasih untuk mencari jodoh. Bertemu janji secara berkumpulan sedikit sebanyak akan mengurangkan rasa kekok diantara pasangan yang baru berkenalan disamping memberi keselesaan untuk pasangan yang telah lama serasi.

Berkelah serta Aktiviti Riadah

Tiada yang lebih menyeronokkan daripada meluangkan masa bersama si dia untuk aktiviti riadah. Sama ada anda memilih untuk berkelah di taman yang indah, atau melakukan aktiviti-aktiviti riadah yang lebih lasak seperti mendaki bukit ataupun berbasikal di hutan belantara, alam semulajadi tidak pernah gagal untuk memberi kepuasan kepada mereka yang melibatkan diri. Pada suatu masa dahulu, Salleh, iaitu salah seorang daripada kawan rapat saya, selalu membawa isteri beliau berkelah dan berjalan-jalan di taman. Beliau mengakui bahawa mereka sentiasa lebih ceria dan kurang tertekan berbanding dengan bersiar-siar di pusat membeli-belah. Susila pula merupakan seorang kenalan yang sentiasa membanjiri susur masa Facebook saya dengan gambar-gambar aktiviti sukan beliau pada hujung minggu. Menurut beliau, temu janji yang melibatkan sukan-sukan lasak dan mampu memberi suntikan adrenalin adalah sesuai untuk personaliti beliau.

Sudah tentu bagi umat Islam, terdapat beberapa tempat tertentu yang mungkin tidak begitu sesuai untuk bertemu janji. Berikut adalah beberapa tempat awam yang boleh membawa masalah:

Panggung Wayang

Sukar untuk kita jangka godaan hawa nafsu yang menanti kita ditempat yang gelap. Sudah beberapa kali sudah saya lihat sendiri bagaimana pasangan beragama Islam yang duduk disebelah saya berpeluk-pelukan tanpa rasa segan silu. Apabila kita hendak menonton wayang, adalah lebih wajar bagi kita pergi bersama pasangan yang lain mahupun rakan-rakan.

Melancong di Hujung Minggu

Walaupun melancong adalah sesuatu yang amat menyeronokkan, pastikan anda tidak menginap dalam bilik yang sama! Sudah tentu, waktu siang dan malam boleh dihabiskan bersama. Pasangan kekasih yang pernah saya kenali amat gemar mengembara, dan selalu bersama apabila kemana-mana. Tetapi mereka sentiasa memastikan bahawa mereka menyewa bilik yang berlainan, dan apabila mereka berkhemah, mereka tidur dikhemah yang berasingan.

Beristirehat di Rumah

Beristirehat di rumah mungkin kedengaran seperti sesuatu yang cukup menyelesakan. Tetapi kita perlu juga ingat bahawa kita hidup di sebuah negara dimana serbuan mungkin berlaku pada bila-bila masa. Anda mungkin dipaksa untuk berkahwin semata-mata kerana anda berdua-duaan ditempat tertutup. Alternatif yang lebih baik adalah dengan menjemput sekali beberapa rakan yang lain – malah ia mungkin lebih menyeronokkan.

Satu peringatan yang perlu dipegang oleh umat Islam apabila bertemu janji adalah dengan menjauhkan diri daripada godaan hawa nafsu. Mengambil bait kata-kata seorang sahabat saya, “menzahirkan rasa kasih sayang kita boleh merumitkan keadaan.” Saya cukup setuju dengan kata-kata tersebut. Apabila nafsu termasuk dalam niat mencari pasangan hidup, ada kemungkinan matlamat asal untuk berumah tangga akan diketepikan. Bagi pasangan beragama Islam yang masih dalam perjalanan ke jinjang pelamin, temu janji bukanlah sekadar untuk melayan perasaan. Ia lebih kepada memastikan individu yang sedang kita kenali ini boleh dijadikan pasangan hidup yang telah lama kita idamkan.

Ilustrasi oleh Xeem Noor

 

Cek Mek Molek gemar memerhatikan segala yang berkenaan dengan hubungan kasih-sayang melalui pandangan dan jiwa beliau sebagai seorang Islam. Beliau percaya bahawa hidup kita tidak ubah seperti kuih cek mek molek; keras dan rangup diluar, tetapi didalamnya terdapat inti cukup manis.

Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya dikongsi oleh pihak Poskod.my.