Oleh Faisal Mustaffa


Akademi Fantasia
, sebuah rancangan yang diroyaltikan dari sebuah rancangan Mexico, bertajuk Laacademia mendapat perhatian banyak pihak dari seluruh negara.

Statistik telah menunjukkan bahawa elemen emosi yang dipaparkan pada setiap berakhirnya konsert mingguan dengan airmata bercucuran (seperti ibu kematian anak) mendapat perhatian umum. Para penonton saya rasa peka bahawa peserta Akademi Fantasia sebenarnya tidak terkeluar kerana mereka telah pun menandatangani kontrak setahun bersama Astro. Walaupun begitu, sifat kesian masih diberikan. Adakah lebih berbaloi sekiranya tangisan disedekahkan kepada para penganggur yang tidak beroleh sebarang pekerjaan selama setengah tahun sungguhpun mempunyai segulung ijazah?

Dari sumber Mingguan Malaysia 17 Ogos 2003, Jumlah SMS yang diterima sepanjang 9 minggu ialah 5 juta. Jumlah SMS pada dua minggu pertama 100,000 manakala SMS minggu ketiga hingga ke lapan meningkat antara 30 hingga 40 peratus.

Saya cuba bayangkan satu SMS yang dihantar berkos purata RM1. Dalam sembilan minggu bukankah hasil kutipannya sebanyak 5 juta?

Pihak pengurusan Astro pula pernah memberitahu saya secara peribadi pada tahun 2003 bahawa matlamatnya untuk mengumpul satu juta pelanggan telah dicapai dengan terbitnya rancangan Akademi Fantasia. Ini adalah kerana 100 ribu pelanggan baru telah mendaftar pada dua minggu pertama Akademi Fantasia bermula.

Subjek yang berunsurkan airmata memang mendapat tempat dalam budaya Malaysia. Tangisan Mahathir di Perhimpunan Agung Umno mendapat simpati rakyat Malaysia walaupun insan tersebut telah menzalimi orang keduanya sehingga mengaibkan keluarga pihak yang dituduh. Rakyat Malaysia memang kaya dengan sifat belas kasihan mereka. Pelajar-pelajar Akademi telah sekelip mata menjadi bintang. Ketika Astro merayakan Family Fest nya di PWTC pada tahun 2004, meja Siti Nurhaliza lengang kerana di sudut lain pelajar-pelajar Akademi Fantasia membuat persembahan.

Dulang dan Paku Serpih

Selain daripada pujian, Akademi Fantasia tidak lari dari kecaman. Melalui akhbar Harakah 16 Ogos 2004, Akademi Fantasia dikatakan menggalakkan cara hidup lelaki dan perempuan yang bebas berpeluk-peluk antara satu sama lain.

Akhbar Utusan yang terkenal dengan wartawannya yang tidak profesional juga tidak mahu lepas dari isu itu. Huzz, wartawan hiburan Mingguan Malaysia dan juga penulis bagi majalah bukan ilmiah, Mangga telah mengecam Akademi Fantasia tanpa usul periksa.

Melalui penulisannya 17 Oogos 2004 lalu, secara terang mendapati bahawa Huzz sebenarnya tidak tahu apa yang ditulisnya. Sumbernya mungkin terhad kepada satu episod rancangan tersebut sahaja dan terus beranggapan bahawa para peserta Akademi Fantasia tinggal di bawah satu bumbung. Huzz menganggapnya sebagai suatu yang sedih apabila acara peluk-memeluk masih terus berlaku lebih-lebih lagi di hadapan keluarga mereka. Lebih mengaibkan adegan percintaan mereka disensasikan untuk tontonan ramai.

Mungkin ada benarnya apabila Harakah menyebut bahawa program tersebut agak ‘longgar dan bebas’ sekali gus memberi kebebasan kepada peserta dan akhirnya mempengaruhi penonton sama ada di dalam atau luar studio. Tetapi dengan melihat bahan bacaan Mangga, seakan-akan Dulang dan Paku Serpih.

Apa kurangnya Mangga? Mendedahkan perceraian seseorang, memperagakan tubuh separuh bogel lelaki dan wanita, bergambar berdua-duaan, berpeluk-pelukkan di antara yang bukan muhrim secara terbuka? Apa yang lebih menyedihkan isi kandungan Mangga yang tidak langsung berunsurkan ilmiah atau nasihat. Hanya bahan bacaan murahan yang melemahkan minda dan membazirkan wang si ibubapa yang memberi wang saku kepada anak remaja mereka yang akhirnya membelanjakan wang tersebut dengan membeli majalah Mangga.
Berkempen ala Akademi Fantasia
Kini deman Akademi Fantasia kembali. Selepas lapan tahun Akademi Fantasia bertapak, rancangan realiti TV itu masih mendapat sambutan daripada penonton televisyen terutama sekali dari kalangan remaja dan luar bandar.
Demam kempen kemenangan juara-juara Akademi Fantasia amat berbeza permainannya dengan demam kempen parti politik dalam pilihan raya. Lebih kotor lagi, kempen politik perampasan kuasa yang kononnya atas nama proses demokrasi.
Dalam demokrasi, pemilihan dalam mewakili sesebuah kumpulan/daerah/negara diserahkan kepada orang ramai, tanpa sekatan asalkan mereka layak untuk memilih. Dengan cara ini sahaja suara majoriti dapat kedengaran dan populariti pemenang dapat ditingkatkan.
Bagi menjalankan proses demokrasi tersebut, kempen perlu diadakan bagi menyatakan manifesto. Kempen bukan perkara yang mudah. Ia perlu diadakan dengan melibatkan seberapa banyak pihak berkepentingan dan menggalakkan orang yang tidak berkepentingan dalam menjayakan kempen tersebut. Dalam sesebuah parti besar, secara praktikalnya memerlukan jutaan ringgit.
Apa manfaat kepada pemilih?

Menurut S. Weir and D. Beetham dalam buku mereka Political Power and Democratic Control in Britain (London: Routledge, 1998), salah satu aspek demokrasi dalam pilihan raya ialah bagaimana ianya dapat memperkasakan pengundi-pengundi; berapa banyak pilihan efektif yang ditawarkan di antara calon-calon dan parti-parti, bagaimana ianya boleh setara dengan nilai undi, berapa banyak galakan untuk turut serta dalam pilihan raya, dan bagaimana sistem ini dapat menyediakan lapangan yang sesuai untuk bersuara.
Audit Demokratik UK telah mengemukakan dua prinsip asas demokrasi dalam analisanya: Pertamanya ialah perkayaan dan kawalan secara kolektif di dalam membuat keputusan dan pembuat-pembuat keputusan. Keduanya, kesataraan politik – di mana setiap orang dan suaranya diambilkira sama rata; sama ada mereka ini pengundi berdaftar, pengguna perkhidmatan awam, penduduk atau dalam aspek-aspek lain berciri kewarganegaraan.
Mengikut amalan parlimen Westminister, demokrasi kita berlandaskan pilihan raya melalui undi terbanyak. Berbeza dengan negara seperti Indonesia, yang pilihan raya mereka diadakan sekali dalam lima tahun dan sekiranya terdapat kekosongan di sesebuah kerusi, maka calon yang mendapat kerusi kedua terbanyak dipilih mengisi kekosongan tersebut.
Di Malaysia, kekosongan sesebuah kerusi diselesaikan dengan pilihan raya kecil.
Pilihan raya di tangan Mahathir.
Sejak pilihan raya umum Mac 2008, kita sudah berhadapan dengan 15 pilihan raya kecil dan menurut Wikipedia, kita mempunyai pilihan raya kecil terbanyak dalam sejarah selepas Pilihan Raya Umum; Permatang Pauh (2008), Kuala Terengganu (2009), Batang Ai (2009), Bukit Gantang (2009), Bukit Selambau (2009), dan Penanti (2009), Manek Urai (2009), Permatang Pasir (2009), Bagan Pinang (2009), Galas (2010), Tenang (2011) dan Merlimau (2011).
Melalui pilihan raya kecil Penanti, inilah kali kedua Barisan Nasional yang mempunyai gabungan parti politik terbanyak (14 buah parti) membuat keputusan untuk tidak bertanding. Kali pertama ialah pada tahun 1975 semasa pilihan raya kecil Parlimen Menglembu atas keputusan mahkamah.
Tetapi, pada tahun lepas, pengerusi BN Najib Razak mengumumkan tidak mahu bertanding di Dewan Undangan Negeri Penanti atas dua alasan; merugikan dan mengklasifikasikan pilihan raya ini atas masalah dalaman Parti Keadilan Rakyat.
Kedua-dua alasan ini tidak dapat diterima Malaysia sebagai sebuah negara pengamal demokrasi berparlimen.
Mengimbas sejarah, pada tahun 1997, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang mahu merealisasikan agenda politiknya, telah membubarkan parlimen Kuala Selangor yang dipegang oleh Abu Hassan Omar. Beliau mengadakan satu pilihan raya kecil di negeri Selangor hanya mahukan Abu Hassan sebagai Menteri Besar Selangor pada waktu itu.
Bagi agenda tersebut sahaja, kerajaan di bawah BN telah mengadakan dua pilihan raya kecil dan kerugiannya dua kali Penanti (yang hanya satu DUN).
Keputusan Pakatan Rakyat untuk mengadakan pilihan raya kecil Penanti selepas pemegang kerusi tersebut Mohd Fairus Khairuddin bertindak melepaskan jawatan Adun beliau. Pakatan Rakyat sebenarnya mengambil risiko besar. Sekiranya BN berjaya merampas kembali DUN tersebut, maka Pulau Pinang yang diperintah Pakatan Rakyat akan kekurangan satu kerusi.
Ketua umum keADILan telah bertindak sedemikian dan memulangkan mandat untuk memilih jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 kepada pengundi di Penanti.
Ambil contoh Astro

Miza terkeluar minggu ke-empat

Dalam pilihan raya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sering menjadi bahan gelak dan dituduh dengan pelbagai tuduhan termasuk bersekongkol dengan BN dalam mengatur strategi kemenangan. Lihat sahaja bekas pengarah SPR di Kuala Terengganu yang mengerah kakitangan kerajaan untuk mengundi BN.
SPR juga sering kali menjadi badut apabila mengendalikan pilihan raya. Dari kertas undi hilang di Parlimen Lumut yang terdapat ramai pengundi pos, senarai pemilih yang kucar-kacir, serta berdegil tidak mahu melaksanakan dakwat kekal sehinggakan wang rakyat RM1.2 juta masuk ke dalam longkang – dibakar kerana tarikh luput dakwat tersebut sudah berakhir.
Melihat kepada kempen-kempen politik yang dijalankan, tidaklah semeriah dan sebersih kempen Akademi Fantasia.
Pelbagai ruang forum maya menjadi platform kempen sehingga melibatkan kaum keluarga yang menangis teresak-esak meraih undi simpati. Laman-laman web rasmi dan tidak rasmi tumbuh bagi menyebarkan mesej masing-masing secara terbuka. Astro juga menganjurkan debat di kalangan pengikut-pengikut peserta secara terbuka dan diulang siaran berkali-kali.
Sewaktu konsert, juru kempen akan menggunakan seberapa banyak kreativiti bagi meraih undi pada saat-saat terakhir. Lihat sahaja kepada kain-kain rentang berwarna-warni, pakaian mereka yang jelas mempromosikan peserta-peserta tertentu dan sebagainya.
Pihak penganjur Astro memberi kebebasan seluas-luasnya untuk berkempen kecuali di saluran @15 yang menapis perkataan-perkataan kotor.
Tidak pernah Astro menggunakan Akta Hasutan, Akta Fitnah dan Akta Universiti dan Kolej Universiti malah mencadangkan kepada kerajaan mengenakan Akta Keselamatan Dalam Negeri ke atas pengundi-pengundi.