Oleh Faisal Mustaffa

Takungan gaji menjadi salah satu perkara ngeri yang melanda golongan pekerja sejak dari dahulu lagi.  Mungkin kerajaan sedar akan gejala ini, justeru mengadakan makmal gaji minimum pada 24 Januari 2011. Malangnya, pihak Kementerian Sumber Manusia mendakwa tidak mencapai sebarang resolusi lantas bercadang pula menggubal Akta Majlis Konsultansi Gaji Negara yang dijangka dibentangkan dalam Parlimen pada Jun 2011 dan menubuhkan Majlis Konsultansi Gaji Negara.

Mungkin alasan lain pula diberikan sekiranya Rang undang-undang itu didolak-dalik.

 

Gaji Bertakung (wage stagnation) sebenarnya ialah satu fenomena yang sudah mengelumuni kaum pekerja di Negara ini sejak 10-12 tahun yang lampau.

Berdasarkan kepada kajian Bank Dunia untuk Kementerian Sumber Manusia, 34 peratus daripada gaji pekerja tempatan adalah kurang daripada RM 700. Angka ini merupakan lah kurang daripada paras kemiskinan iaitu sebanyak RM 720.

Ini bermakna, setiap tiga daripada sepuluh pekerja menerima gaji kurang daripada RM 700. Nisbah ini boleh diperluaskan lagi sekiranya kita masukan pekerja-pekerja dalam sektor informal.

Kajian Bank Dunia juga menunjukkan bahawa  corak peningkatan gaji  untuk sepuluh tahun yang lalu di  Malaysia mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 2.6 peratus (pertumbuhan tahunan 2.6 peratus) berbanding  dengan kos sara hidup yang semakin meningkat untuk tempoh yang sama.

National Economic Advisory Councildalam laporan Model Ekonomi Baru  menyebut bahawa 40 peratus isi rumah bawahan telah mengalami pendapatan purata terendah iaitu menerima pendapatan kurang daripada RM1, 500 sebulan pada tahun 2008.

Kekurangan gaji pekerja tempatan menjadi bertambah teruk ini berlaku kepada kira-kira 1.8 juta pekerja yang berkerja secara sah dan mungkin 1.2 juta pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen pekerjaan.

Oleh kerana gaji benar golongan pekerja ini tidak meningkat selaras dengan kos kehidupan,  maka golongan kelas menengah dan kelas pekerja mula bertindak dengan membuat pinjaman wang secara besar-besaran dari bank-bank, dan juga Ah Long untuk menampung keluarga.

Menurut CIMB Research, pinjaman isi rumah di Malaysia telah meningkat dari 11.1 peratus dalam tempoh lima tahun iaitu 2004 – 2009. Pinjaman isi rumah dalam tempoh sembilan bulan iaitu dari akhir tahun 2009 ke Ogos 2010,  telah meningkat sebanyak 8.4 peratus iaitu dari RM 516.6 billion ke RM 560.1 billion.

Tambahan pula, pinjaman isi rumah berdasarkan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah melambung dari 66.7 peratus pada tahun 2004 kepada 76 peratus pada tahun 2009. Situasi ini suatu tahap yang harus membimbangkan pihak kerajaan.

Pertumbuhan pesat hutang isi rumah ini telah mencetuskan kebimbangan  di kalangan ahli ekonomi kerana keadaan seperti ini boleh mengakitbatkan ketidakstabilan sektor kewangan dan krisis ekonomi seperti apa yang berlaku di Amerika Syarikat pada tahun 2009/2010.

Pinjaman-pinjaman yang dibuat digunakan untuk membayar pinjaman rumah, kereta dan untuk bayar balik pinjaman kad kredit.

Fenomena ini jelas menunjukkan bahawa kelas menengah dan kelas pekerja terpaksa berhutang hanya untuk memperolehi kehidupan yang selesa bila berhadapan dengan takungan gaji ini.

Peningkatan Harga

Semenjak beberapa bulan lalu, khususnya dari bulan September/Oktober 2010  sehingga Februari 2011, harga barang barang asas dan keperluan harian seperti makanan, pengangkutan, makanan bayi (instant formula) termasuk pakaian sekolah  telah naik secara mandadak.

Consumer Research and Resource Centre (CRRC)
  yang memantau perubahan harga untuk enam jenis sayuran yang sering dibeli isi rumah di Malaysia menunjukan bahawa kos purata untuk  kangkung, kacang buncis, sawi, tomato, kacang panjang, kubis telah meningkat lebih daripada 40-50 peratus.

Pantauan ini telah dilakukan untuk tujuh bulan iaitu dari 5 September 2010 hingga 5 Mac 2011.

Menurut CRRC, bawang putih telah melihat peningkatan yang paling dramatik dalam proses pemantauan mereka iaitu dari 2008 –  bawang putih telah mengalami kenaikan harga sebanyak 400%.

Malah, dalam satu satu kajian yang melibatkan golongan pesara menunjukan bahawa kumpulan ini  membelanjakan 39% untuk membeli makanan setiap bulan. Maka kesan peningkatan harga makanan terhadap kualiti hidup dan taraf kehidupan warga emas adalah serius.

Masalah peningkatan harga makanan akan menyusahkan semua lapisan masyarakat tetapi kumpulan yang akan mengalami tekanan yang serius, malah akan memiskinkan mereka adalah warga emas, kelas pekerja termasuk kelas pertengahan bawah.

Subsidi Dipotong

Kerajaan telah mula mencatu subsidi untuk petrol, diesel and liquefied petroleum gas (LPG) termasuk gula. Pencatuan subsidi ini dikatakan sebagai permulaan untuk mencatu subsidi ke atas barangan yang lain.

Langkah-langkah ini dikatakan akan mempunyai kesan minima terhadap keluarga individu, tetapi akan menghasilkan pengurangan  RM750 juta perbelanjaan kerajaan antara bulan Julai hingga Disember 2010.

Tetapi malangnya, beban pencatuan subsidi kerajaan harus ditanggung oleh keluarga-keluarga miskin yang mengalami kejatuhan dalam nilai pendapatan mereka dan kenaikan harga makanan.  Dengan kata lain, rumahtangga miskin dan sederhana di negara kita terpaksa menanggung kenaikan kos minyak, gula, gas dan sebagainya.

Kerajaan mengatakan mereka tidak ada wang yang mencukupi untuk memberi subsidi kepada  rakyat. Tetapi mereka sentiasa ada peruntukan wang untuk memberi subsidi untuk kroni dan pengusaha.

Pada bulan Julai 2010, Kerajaan Persekutan telah memberi pinjaman sebanyak RM320 juta kepada utiliti air Puncak Niaga. Untuk pengetahuan umum, syarat-syarat pembayaran balik adalah selepas 16 tahun dan pembayaran faedah adalah selepas tahun ke-lima.

Ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan mempraktikkan apa yang dipanggil sosialisme untuk kroni dan kemiskinan pasaran bebas untuk rakyat jelata.

Inflasi

Indeks Harga Pengguna Malaysia (CPI) untuk tempoh Januari hingga Oktober 2010 menambah sedikit sebanyak 1.7 peratus. Tetapi apabila perangkaan tersebut dibanding dengan bulan sama dalam 2009, CPI untuk Oktober 2010 mencatat peningkatan sebanyak dua peratus.

Indeks untuk makanan dan minuman bukan-alkohol dan bahan bukan makanan (non-food) untuk bulan Oktober 2010 berbanding bulan yang sama tahun 2009 menunjukkan peningkatan sebanyak 2.8 peratus dan 1.5 peratus.
Untuk tempoh Januari hingga Oktober 2010, indeks untuk makanan dan minuman-minuman bukan beralkohol dan bukan makanan masing-masing dinaikkan sebanyak 2.3 peratus dan 1.4 peratus.

Apa yang jelas ialah peningkatan harga makanan dan minuman bukan alkohol adalah signifikan.

Sekiranya kerajaan atau Jabatan Statistik  menggunakan kaedah yang sama, seperti tahun tahun lalu untuk menilai Indeks Harga Pengguna (CPI) untuk Januari 2011, sudah tentu perangkaan CPI akan naik.

Tetapi, bagi bulan Januari 2011, pemberat (weightage) untuk makanan dalam penilaian CPI telah diturunkan dari 31.4 peratus ke 30.3 peratus.

Maka peningkatan kos makanan yang tinggi untuk bulan Januari 2011 yang tinggi tidak dapat dikesan dalam penilaian CPI untuk bulan itu.

Pada masa  yang sama, pemberat untuk kos pengangkutan diturunkan dalam penilaian  Januari 2011. Pada 5 Januari 2011,  harga RON 97 telah meningkat sebanyak 10 sen oleh kerana pencatuan subsidi dan kenaikan harga pasaran petroleum dunia.

Kedua-dua perkara penting dalam perbelanjaan isi rumah kaum pekerja ialah makanan dan kos pengangkutan. Oleh kerana kekurangan pemberat untuk bahan-bahan ini dalam penilaian CPI, maka kesan inflasi kepada rakyat jelata tidak dapat dikesan dengan jelas menerusi CPI.

Kajian persendirian RHB Research bertarikh 23hb Februari mengenai kenaikan harga menunjukan  harga makanan dan minuman bukan alkohal meningkat sebanyak 3.6 peratus, dari satu tahun ke satu tahun berikut. Harga pengangkutan pula telah meningkat sebanyak 4.3 peratus setiap tahun.

Perkara inilah yang akan menjadi masalah dalam konteks penentuan gaji di antara pekerja dan pengusaha.
Di dalam keadaan yang berlaku sekarang, jelas bahawa takungan gaji dan peningkatan harga  termasuk pencatuan subsidi kerajaan mengakibatkan kelas menengah dan pekerja biasa gagal untuk bersaing dengan pertumbuhan ekonomi sejak sepuluh tahun yang lalu.

Malah, boleh dikatakan bahawa gaji purata pekerja pada tahun 2000 tidak banyak berbeza dari  tahun 2010.

Masalah takungan gaji dan keadan kemiskinan menjadi bertambah buruk dengan penswastaan dan  pemotongan subsidi yang dilakukan oleh kerajaan.  Dan kalau kerajaan melaksanakan cukai barang and perkhidmatan (GST) pada masa yang dekat, ini juga akan menyusahkan rakyat di negara ini.

Ini bermaksud, krisis kos hidupan merupakan krisis yang sangat serius. Justeru, penubuhan Suruhanjaya Bebas ditubuhkan untuk menyiasat ‘Krisis Kos Kehidupan’ ini.

Gaji Minima

Pelaksanaan gaji minima secepat mungkin juga adalah satu jalan penyelesaian. Gaji minima ini harus ditetapkan jauh lebih daripada paras kemiskinan dan bukan apa yang dicadangkan kepada pengawal keselamatan sebanyak RM 700 – angka tersebut jumlah yang kurang daripada paras kemiskinan. Tuntutan yang lebih bermakna ialah gaji kehidupan atau living wages dan bukannya gaji minima kemiskinan.

Penyaluran dari segi insentif cukai kepada firma-firma tempatan, khususnya firma kecil dan sederhana supaya memberi galakan dengan penawaran gaji kehidupan atau living wage kepada pekerja-pekerja mereka. Bagi firma-firma ini pelepasan cukai ini boleh dianggap sebagai kos penyesuaian atau adjustment cost.

Tambahan lagi, kerajaan juga boleh menyediakan insentif kepada firma-firma supaya meningkatkan kemahiran pekerja supaya mereka memperolehi kelayakan untuk pekerjaan-pekerjaan berbayar yang lebih tinggi. Misalnya di Jerman, 80 peratus daripada sektor peruncitan telah menyertai latihan vokasional untuk dua hingga tiga tahun dan mereka disediakan peluang untuk menyertai bidang pengurusan.