Oleh Faisal Mustaffa

Selepas menyaksikan teater Madu II arahan U-En Ng lakonan dua adik beradik; ElzaIrdalynna dan Inessa Irdayanty, persoalan yang ingin ditanya di sini sama ada madu itu benar-benar manis?

Di dalam era globalisasi, terdedah atas pergaulan bebas – di tempat kerja, aktiviti sosial, ditambah lagi dengan tekanan hidup, adakah lelaki itu akan menurut sunnah dan ajaran al-Quran di dalam bersikap adil selepas membuat keputusan untuk berkahwin dua (atau tiga, atau empat)?

Allah berfirman:
“Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan , dua, tiga  atau empat. Tetapi jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja”. – An-Nisa :ayat 3

Dalam melaksanakan poligami adil adalah amat penting. adil – meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. Fikirlah dari segenap sudut dan aspek sebelum berhasrat untuk berpoligami.

Jika dirujuk atau mengambil contoh daripada Rasulullah s.a.w, hanya Saidatina Aisyah r.a sahaja yang dikahwini oleh Rasulullah berstatus anak dara. Ummul Mukminin yang lainnya adalah janda. Rasulullah hanya mengamalkan poligami selepas Saidatina Khadijah meninggal dunia. Rasulullah adalah contoh terbaik umat Islam. Tetapi kenapa dalam berpoligami hanya beberapa sahaja contoh modul poligami Rasulullah  yang mahu diikuti? Kebanyakan lelaki sekarang mahu mengamalkan poligami dengan beralasan ianya sunnah Rasulullah.

Sikap masyarakat sekarang yang jahil tentang agama juga menjadi penyebab atas pelaksanaan poligami menjadi penyimpang, lalu mengakibatkan lebih banyak masalah di dalam sesebuah institusi kekeluargaan itu.

Tindakan suami untuk berkahwin lain merupakan sesuatu yang tidak diingini oleh wanita. Mungkin tidak semua wanita bersikap begitu tetapi sikap dingin inilah yang dipertontonkan dalam Madu II ini.

Kalau dilihatkan filem P.Ramlee “Madu Tiga” (filem ini menjadi sumber rujukan penulis skrip pementasan ini, Alfian Sa’at), si suami akan sering membelakangkan isterinya. Hanya kerana hendak berkahwin isteri muda, suami tersebut sanggup menipu isteri yang pertama kali dalam hidup anda. Memang betul, dia akan membantah, dia akan menangis kerana dia sayangkan anda.

Memang, inilah yang dinamakan ber’madu’.  Isteri pertama akan tahu sekiranya dia membantah, sedangkan dia tahu anda tetap hendak berkahwin, nescaya dia akan merelakan atas keikhlasan anda memberitahunya. Dia akan marah dan sedih tidak lebih daripada tiga bulan, tetapi kalau anda dapat memberi kebaikan yang sama kepadanya, segala duka nestapanya akan hilang.

Nikah Misyar
Pendapat daripada Fadilah al-Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi  bahawa perkahwinan Misyar adalah perkahwinan yang seperti kita selalu perhatikan. Cuma yang berbeza di sini ialah istilah misyar yang digunakan. Sesuatu perkara itu bukanlah diambil hukumnya daripada nama dan ibaratnya tetapi dilihat kepada apakah yang terkandung didalam perkara tersebut. Terkadang manusia ada meletakkan nama yang lain daripada nama tersebut. Kita mengetahui bahawa terdapat dikalangan para suami yang berkahwin dengan isteri yang kedua tanpa memberitahu kepada isterinya yang pertama berhubung dengan perkahwinan tersebut.
Justeru, Kerajaan Selangor telah melonggarkan prosedur permohonan untuk berpoligami mulai tahun ini. Kalau sebelum ini isteri pertama mesti hadir di mahkamah bagi mendengar permohohonan suaminya untuk berpoligami, tetapi kini mahkamah boleh dengan budi bicara hakim tidak memanggil isteri pertama bagi memberi keterangan.

Dengan prosedur baru ini, diharapkan tidak ada lagi rakyat Selangor yang mengambil tindakan kahwin lagi ke negara jiran. Kelonggaran ini boleh membantu mereka yang berhasrat untuk berkahwin lebih tanpa menyusahkan mana-mana pihak baik suami mahupun isteri.

“Superwoman”
Ini yang mengingatkan saya kepada lagu Karyn White “Superwoman”. Diambil dari petikan skrip, wanitalah yang akan ambil hati, makan hati dan tawar hati. Lulur hatinya apabila dimadu, tidak ada sesiapa yang benar-benar tahu. Persoalan seperti adakah si isteri memberi persembahan yang baik kepada si suami, makan minum yang dihidangkan, budi bahasa, pergaulan yang menceriakan tentulah semua pengikat kasih sayang yang berpanjangan.

Mungkin secara positifnya, si isteri pertama akan menganggap sikap membenarkan suaminya berpoligami dapat membantu kaum sejenis anda mendapat kasih sayang daripada orang yang anda sayang. Bayangkan betapa besarnya pahala anda ketika itu sedangkan kasih sayang suami anda tetap sama.

Kamariah binti Hassan (watak isteri pertama lakonan Elza Irdalynna) mungkin menyedari bahawa dia tidak boleh melahirkan anak, sudah berumur dan tidak berpendidikan menyebabkan suaminya berkahwin lain. Sikap lemah wanita ini juga menganggap sikap suaminya mengekalkannya sebagai isteri dan tidak menceraikannya untuk berkahwin lain membawanya untuk menerimanya sahaja kehendak suami.

Isteri kedua pula, Suhailah binti Bujang (lakonan Inessa Irdayanty) yang 10 tahun lebih muda daripada madunya tidak menganggap madunya itu sebagai pesaing . Dia hanya mahu berkongsi hidup. Dia juga mungkin mempunyai persoalan mengapakah suaminya mahu mengahwininya apabila mempunyai isteri pertama yang pandai memasak dan melalui zaman perkahwinan yang indah. Berbaliklah mereka kepada isu zuriat. Adakah suaminya mengahwini isteri kedua untuk zuriat dan bukannya cinta?

Tetapi, apa yang mereka berdua takuti ialah sekiranya suami mereka sanggup berkahwin dua, tidak mustahil suaminya itu boleh bertindak untuk berkahwin satu lagi.

Atas ikiran sedemikian, kepercayaan khurafat ‘nasi kangkang’ menjadi penyedap badan. Si isteri akan meletakkan tanak nasi yang berwap di bawah kangkangnya untuk beberapa lama dan dihidangkan untuk makanan suami.

Syarat Poligami

Syeikh Muhammad Abduh berpendapat bahawa “Walaupun Al-Qur’an membenarkan poligami, ianya adalah atas dasar pertimbangan kepada keadaan-keadaan tertentu sahaja, sehingga ia diiringi dengan syarat bahawa seorang lelaki boleh beristeri lebih dari satu hanya sekiranya dia boleh menjaga kesemua isterinya dengan sempurna dan hak-hak setiap isterinya dijamin iaitu tanpa berat sebelah dan juga dengan adil. Syarat yang secara praktiknya adalah mustahil untuk dilaksanakan menandakan bahawa maksud hukum tersebut menganggap monogami sebagai norma dan ideal sesebuah perkahwinan. ”

Abdullah Yusuf Ali mengatakan bahawa memandangkan syarat adil dalam berpoligami adalah sangat sukar untuk dipenuhi, beliau justeru berpendapat bahawa Al-Qur’an lebih menggalakkan perkahwinan monogami.

Amalan mempunyai seberapa ramai isteri yang dimahukan, hingga 10 orang atau lebih, adalah amalan biasa di kalangan penduduk Hijaz sebelum turunnya wahyu kepada Rasulullah s.a.w. Turunnya ayat Al-Qur’an adalah untuk menghadkan jumlah bilangan isteri kepada empat dan menganjurkan kepada satu.

Selepas turunnya ayat tersebut, baginda memerintahkan seorang sahabat yang mempunyai 10 isteri untuk memilih empat daripada isteri-isterinya dan menceraikan yang lain. Di dalam surah An-Nisa’ 4:3 juga, Allah swt seterusnya memberi amaran bahawa “..sekiranya kamu bimbang tidak akan berlaku adil, maka seorang sahaja” dan di dalam surah An-Nisa’ 4:129, Allah seterusnya berfirman “Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya) “.

Jika kita renung sirah Nabi Muhammad s.a.w, sepanjang isteri pertama baginda Sayiditina Khadijah masih hidup, beliaulah satu-satunya isteri baginda, iaitu selama 28 tahun (17 tahun sebelum kerasulan Nabi s.a.w dan 11 tahun selepas kerasulan baginda). Perkawinan kedua Rasulullah s.a.w berlangsung setelah dua tahun Sayiditina Khadijah meninggal dunia dan seperti yang diketahui ramai, selain daripada Sayiditina Aisyah, hampir kesemua isteri-isteri baginda sudah lanjut usia dan janda-janda.

Apabila menantu baginda Sayidina Ali r.a. ingin berkahwin lagi, Rasulullah s.a.w. tidak membenarkan Sayiditina Fatimah r.a. dimadukan. Menurut hadith sahih, baginda bersabda “Sungguh tidak aku izinkan, kecuali Ali bin Abi Thalib menceraikan puteriku terlebih dahulu, Fatimah adalah sebahagian dari diriku, apa yang mengganggu perasaannya mengganggu diriku jua, dan apa yang menyakiti hatinya menyakiti hatiku”

Kitab Al-Muraddafat juga meriwayatkan bahawa cicit Rasulullah s.a.w, Sakinah binti Hussein juga memberi syarat di dalam kontrak perkahwinannya (suratta’liq) bahawa suaminya tidak boleh berkahwin lain selama mereka masih bersama.

Di negara-negara Islam pada hari ini, ada juga yang mengharamkan poligami seperti negara Tunisia dan Maghribi pula mengenakan syarat-syarat yang sangat ketat bagi poligami sehingga hampir mustahil untuk mempraktikkannya.

Mazhab Hanbali yang juga dalam ahli sunnah wal jamaah, memberi hak kepada isteri untuk tidak bermadu.

Jelaslah terdapat pelbagai pendapat dalam isu ini dalam dunia pemikiran Islam dan seharusnya kita fikirkan bersama dalam memastikan keadilan dan kesejahteraan serta keharmonian rumahtangga.

Hakikatnya, ramai manusia yang hilang rasa bahagia bukan kerana poligami semata-mata. Berapa ramai orang yang tidak terlibat dengan poligami, tetap tidak merasakan bahagia yang hakiki.

Andai kita meluaskan skop pandangan mata di sekitaran hari ini, bukan setakat rumahtangga yang mengamalkan poligami sahaja yang bergolak, bahkan rumahtangga berstatus monogami juga turut banyak berkocak. Saban hari ada saja kisah perceraian yang dipaparkan di dada akhbar.

Madu IIkarya Alfian Sa’at lebih daripada sebuah naskah teater, atau ulasan tentang masyarakat, atau pendapatnya tetang hal ini, dan watak-wataknya bukanlah kajians emata-mata. Madu II menceritakan tentang harapan yang rahsia, impian yang terkecai, kebahagiaan yang terkubur dan kemanusiaan yang jujur oleh ramai wanita yang bermadu. Ia menakjubkan dan juga menyayat hati, lantang dengan jenaka, kesedihan dan kemarahannya.

Pementasan ini bermula pada 6 April 2011 dan berlanjut sehingga 10 April 2011 di The Actor’s Studio, Lot 10, Kuala Lumpur.